Sukan Star TV

+1 vote
Kisah polis yang kononnya memukul pelajar

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menyiarkan maklumat yang diterima dari laman sosial bagi mengelak fakta tidak sahih tersebar.


Berkaitan kes viral di laman sosial, seorang pegawai polis didakwa telah memukul seorang pelajar sebuah institusi pendidikan, pagi semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Abdullah Roning berkata, orang awam sepatutnya memastikan kesahihan fakta diterima terlebih dahulu bagi mengelak kesan negatif kepada pihak terlibat.


Katanya lagi, kes tersebut sebenarnya telah selesai tetapi yang menjadi masalah apabila ramai yang terus berkongsi maklumat berkenaan hingga tersebar lebih meluas.


"Kes itu memang berlaku tetapi faktanya diputar belit oleh penulisnya."


“Polis telah menyiasat kedua-dua belah pihak dan mereka yang terlibat tidak mempunyai apa-apa masalah lagi,” katanya sambil memberitahu, kes tersebut berlaku di lampu isyarat Guchil.


"Pelajar dan pegawai terlibat dikatakan sama-sama berhenti di lampu isyarat Guchil. Pegawai berkenaan mendapati motosikal ditunggang pelajar terbabit dalam keadaan mencurigakan, tiada nombor plat dipamerkan di bahagian hadapan."


“Pegawai terbabit yang ketika itu beruniform, meminta remaja tersebut berhenti tetapi dia melarikan diri menyebabkan pegawai berkenaan terus curiga,” katanya.


Tambahnya lagi, semasa melarikan diri remaja terbabit terbabas ke kiri jalan dan terjatuh.


“Pegawai berkenaan ingin memeriksa dan menangkapnya, tetapi berlaku sedikit pergelutan. Kejadian berlaku di tepi jalan dan ramai orang yang melihatnya. Apabila ramai nak jadi wartawan, mereka menulis tanpa asas yang betul,” katanya.


Tambah beliau, kes ini boleh dijadikan pengajaran kepada orang awam agar lebih berhati-hati menggunakan kemudahan laman sosial untuk perkara bermanfaat.


Beliau turut meluahkan rasa kecewa dengan group media sosial di daerah ini yang sentiasa menyiarkan berita tanpa memastikan kesahihan.


Maklumat disebarkan oleh seorang individu semalam dikongsi lebih 400 pengguna laman sosial.


Sumber Rujukan : Sinar Harian @ http://goo.gl/NY9Z2O


admin 84 points
7,368 views Jan 7, 2016

Please log in or register to Comment this Media.